Program Perdana Lambaian Baitullah jemaah cilik IPAKK

BINTULU: Seramai 500 kanak-kanak menyertai Program Perdana Lambaian Baitullah Jemaah Cilik Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) Bintulu 2025 di sini, hari ini.

Jemaah cilik itu dari 44 IPAKK termasuk taska, tadika, pra sekolah, Tabika KEMAS dan Tabika Perpaduan di seluruh Bintulu.

Program diserikan dengan perarakan jemaah cilik berpakaian ihram, simulasi tawaf, saie serta bacaan talbiyah yang menggamit suasana seolah-olah di Tanah Suci.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee yang mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah merasmikan program tersebut.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Pengasuh dan Pendidik Awal Kanak-Kanak Bintulu (PAKB) selaku penganjur utama program bersama rakan strategik seperti Tabung Haji, Andalusia, Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA), Pejabat Residen Bintulu, Jabatan Agama Islam Sarawak(JAIS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Baitulmal, Pejabat Pendidikan Bintulu dan Bintulu Port Holdings Berhad.