Sarawak setuju bekalkan 1,000 MW tenaga hijau pada Singapura

SINGAPURA: Sarawak bersetuju secara prinsip untuk membekalkan 1,000 megawatt (MW) tenaga hijau kepada Singapura, menandakan era baharu dalam kerjasama tenaga rentas sempadan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kerajaan Singapura dalam merealisasikan projek mega tersebut.

“Kami sedang bekerjasama dengan Kerajaan Singapura. Kabel akan dibangunkan antara Sarawak dan Semenanjung, seterusnya disambungkan ke Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Sarawak Mega Fair 2025 yang
di Suntec Singapura, hari ini.

Menurut Premier, Sarawak juga memperkukuhkan kerjasama strategik bersama Singapura dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan ekonomi hijau yang mampan.

Katanya, pelaburan Singapura ke Sarawak akan disokong oleh kestabilan politik, keselamatan ekonomi serta sumber tenaga bersih yang berpotensi besar untuk dikongsi.

“Pelabur mahukan jaminan kestabilan. Sarawak stabil, kerajaan stabil, saya sendiri selamat dan saya yakin, akan terus kekal begitu,” tambah beliau.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata menjelang 2030, Sarawak menyasarkan penghasilan sebanyak 10 gigawatt tenaga boleh diperbaharui, dan angka ini dijangka meningkat kepada 15 gigawatt pada 2035.

Katanya, Sarawak kini menjana tenaga melalui gabungan empat empangan hidro utama iaitu Bakun, Murum, Baleh dan Batang Ai, di samping memanfaatkan sumber tenaga lain seperti solar terapung, gas berkarbon rendah dan biojisim.

Mengulas mengenai penganjuran Sarawak Mega Fair, Abang Johari menyifatkannya sebagai simbol hubungan mesra dan kepercayaan dua hala antara Sarawak dan Singapura.

Acara dagangan itu katanya, bukan sahaja membuka ruang kepada kerjasama perdagangan dan pelaburan, malah memperkukuh jaringan strategik dalam bidang teknologi, tenaga hijau dan pembangunan mampan.

Beliau turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Health Management International Pte Ltd (HMI) dengan Ibraco Berhad, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak dengan HALTEX Group (Global Halal Alliance) dan Page8, Mustafa’s Pte Ltd dan HALTEXPRIUS Pte Ltd (Member Of Global Halal Aliance), Borneo Eco Fish Sdn Bhd dan Sheng Siong Supermarket Pte Ltd., Sarawak Skills (Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak) dan Temasak Polytechnic, SDEC Karuna JV Sdn Bhd (SKJV) dan WiredBoxGroup (WBG) serta Zecon Bhd, Neuto Pte Ltd dan Edra Power Holding Sdn. – UKAS