DARO: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.43 Daro mahu menjadikan pencapaian cemerlang pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) terdahulu sebagai penanda aras untuk mencatat keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13.
Ketua Cawangan N.43 Daro merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dr Safiee Ahmad berkata, kawasan itu pernah menduduki kelompok lima terbaik dari segi undi popular pada PRN 2016 sebelum melonjak ke kedudukan kedua pada PRN 2021 dengan memperoleh hampir 94 peratus undi.
Menurutnya, pencapaian tersebut membuktikan kekuatan jentera parti di kawasan berkenaan dan perlu dijadikan pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi pada pilihan raya akan datang.
“Pencapaian itu menjadi penanda aras kepada semua ahli parti untuk berusaha mencapai keputusan lebih baik pada pilihan raya nanti.
“Kita mahu membuktikan bahawa jentera Parti PBB Daro memberikan yang terbaik dan mampu menjadi kebanggaan kepada parti serta Gabungan Parti Sarawak (GPS),”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Konvensyen Khas Parti PBB Cawangan N.43 Daro dan Majlis Pelancaran Jentera PRU DUN Sarawak Ke-13 bagi DUN N.43 Daro di Dewan Masyarakat Daro, di sini, hari ini.
Safiee berkata, selepas pelancaran jentera berkenaan, tumpuan seterusnya adalah membuat persiapan menghadapi proses penamaan calon serta menyusun strategi kempen sepanjang tempoh 14 hari yang ditetapkan.
Katanya, setiap peringkat jentera perlu memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan gerak kerja kempen dapat dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.
Terdahulu, konvensyen berkenaan turut menampilkan dua pembentangan, iaitu Taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Pengiraan Undi (PACA) yang disampaikan Setiausaha Eksekutif Parti PBB, Datu Takun Sunggah.
Pembentangan kedua bertajuk ‘Menuju PRN Ke-13: Perkongsian Maklumat N.43 Daro’ disampaikan Penolong Pengarah Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Yushairi Raduan.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Cawangan N.43 Daro, Kaunselor Hamden Taha, Ketua Pergerakan Wanita, Mastiah Ahmad, Ketua Pergerakan Pemuda, Mohd Faizal Jamiluddin, Ketua Pergerakan Belia 1828, Mohd Haiqal Aiman Saadi, Setiausaha Cawangan, Kaunselor Mohd Suffian Fauzi serta Pengerusi SUPP Cawangan Daro, Tan Soon Kuang.
