MUKAH: Kerajaan sudah meluluskan pembinaan Klinik Kesihatan baharu di sini, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata tapak projek sudah dikenal pasti dan perincian reka bentuk serta kemudahan sedang dimuktamadkan.
“Saya berharap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Program Santuni MADANI 2026 Kampung Penat di Dewan Serbaguna Kampung Penat, di sini, semalam.
Hanifah berkata, usaha meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan daerah ini, akan diteruskan bagi mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap hospital di Sibu dan Bintulu.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan rakyat memperoleh akses perkhidmatan kesihatan lebih menyeluruh, khususnya rawatan pakar.
“Kekangan sumber manusia menjadi antara cabaran utama dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan, selain keperluan setiap kawasan yang berbeza,” tambahnya.
Sementara itu, mengenai Program Santuni MADANI 2026, beliau berkata, inisiatif berkenaan membantu kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar penduduk di peringkat akar umbi.
