Sukan sektor berdaya saing, penyumbang ekonomi negara

SADONG JAYA: Industri sukan kini dianggap sebagai sektor berdaya saing yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara.

Timbalan Menteri Insfrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata peranan sukan hari ini bukan dilihat sebagai aktiviti untuk menyihatkan tubuh badan semata-mata, malah dapat menggalakkan pembangunan ekonomi.

Katanya, penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) menjadi pemangkin dalam sektor sukan untuk berkembang apabila melibatkan masyarakat termasuk di peringkat akar umbi.

“Ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara individu dari pelbagai latar belakang melalui aktiviti sukan.

“Orang ramai berpeluang berinteraksi, bekerjasama dan memahami antara satu sama lain tanpa mengira kaum, agama dan status sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian HSN yang turut dihadiri Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee di sini hari ini.

Aidel yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya menambah, kehadiran ramai peserta dan sambutan yang amat meriah merupakan tanda penduduk setempat memberi komitmen dan lebih mengutamakan hidup sihat dan aktif dengan menjadikan aktiviti sukan.