MUKAH: Pesta Tanglung Peringkat Bahagian Mukah 2025 menjadi lambang perpaduan apabila ribuan penduduk pelbagai kaum membanjiri Dataran Pehin Setia Raja Mukah bagi meraikan sambutan itu, semalam.
Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, ia bukan sekadar perayaan masyarakat Cina, tetapi lambang keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyat pelbagai kaum.
Katanya, Pesta Tanglung Mukah yang diperkenal semula pada 2022 kini memasuki tahun keempat penganjuran.
“Ia terus menjadi acara kebudayaan utama dalam Kalendar Pelancongan Sarawak, khususnya di kawasan tengah negeri ini,” katanya majlis perasmian acara tersebut di sini, semalam.
Beliau turut menggesa generasi muda meneruskan warisan budaya ini dengan penuh tanggungjawab serta menyesuaikan nilai-nilai tradisional dengan perkembangan masa kini.
“Tradisi seperti ini bukan hanya sambutan tahunan, tetapi sumber identiti dan jati diri kita sebagai rakyat Sarawak yang bersatu di bawah satu cahaya,” tambahnya.
Pertandingan Kuih Bulan, Pertandingan Tanglung Gergasi Kreatif serta Perarakan Tanglung turut disertai oleh jabatan kerajaan, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat.