LIMBANG: Ibu bapa perlu memberi kasih sayang kepada anak-anak supaya mereka tidak rasa tersisih dan membawa haluan sendiri.
Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, ini kerana ada anak-anak yang kurang kasih sayang itu dan memendam perasaan dengan melayari media sosial tanpa kawalan.
“Kita perlu memberikan kasih sayang, peduli dan pendamping kepada anak-anak dengan mendengar permasalahan, kerisauan dan kesunyian mereka,”katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara dan Hari Kesihatan Mental Sedunia Sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Bahagian Limbang 2025 di Dewan Suarah Limbang di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Pegawai Daerah Limbang Mariati Samat, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Norliza Jusoh, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Rynnille Elsther Peter, Pengarah, Hospital Limbang Dr Nurain Yahya dan Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot.
