Belia perlu persiapkan diri teknologi AI, bantu gerakkan ekonomi

BINTULU: Belia di negeri ini perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu berteraskan teknologi terkini dan kecerdasan buatan (AI) bagi meneruskan aspirasi menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, belia hari ini perlu berpengetahuan tinggi dalam teknologi terkini agar dapat menggerakkan ekonomi, bukan sahaja negara ini malah di rantau ASEAN.

Katanya, keupayaan Sarawak dalam tenaga diperbaharui turut diakui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Sarawak menyumbang dalam pembangunan Grid Tenaga ASEAN.

“Kerajaan Sarawak hari ini, saya nak mempersiapkan anda semua, supaya anda mengeluarkan tenaga bagi menggerakkan ekonomi ASEAN.

“Sebab yalah Perdana Menteri meminta kepada saya, bolehkah Sarawak menjadi penyumbang kepada Tenaga ASEAN Grid,” katanya pada Majlis penutupan Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 di Dewan Suarah di sini, hari ini.

Menurut Premier, kelebihan sumber alam semula jadi dimiliki Sarawak memberinya keupayaan untuk menjana pelbagai tenaga diperbaharui yang menjadi sumber ekonomi baharu negeri ini.

Beliau berkata, sumber alam semula jadi dimiliki negeri ini merupakan harta intelek Sarawak yang akan memacu aspirasinya melangkaui negara muncul sebagai “Star Of ASEAN”.

Justeru, Premier Sarawak turut menggesa belia agar berdisplin dan beraspirasi untuk menjadi pemimpin masa masa hadapan yang akan memandu negeri ini di haluan yang betul.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, pendapatan Sarawak tidak terjejas kesan tarif dikenakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap minyak.

Katanya, perkara itu akan diperincikannya semasa pembentangan Belanjawan Sarawak 2026 pada Persidangan DUN Sarawak bulan depan.

Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 diadakan dari 13 hingga 19 Oktober menampilan tiga aktiviti utama dengan 16 pengisian program iaitu Youth Champion, Youth X-Tive dan Youth Marketplace.

Sementara itu, anak jati Kuching, Shahradhi Libiki Iskandar Ridhuan (33 tahun) merangkul Anugerah Belia Sarawak 2025 (Kategori Individu Lelaki).

Anugerah bagi Kategori Individu wanita pula menjadi milik Rapunzel Anthony Jamuh (28) dari Miri.

Saberkas Cawangan Satok pula muncul Johan Anugerah Persatuan Belia Sarawak 2025 manakala naib johan Kelab Iban Mansang Bawang Assan.