SEBUYAU: Dari kawasan pesisir terpencil, daerah Sebuyau kini berubah wajah hasil pembangunan pesat yang meliputi pelbagai infrastruktur moden dan kemudahan awam.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, transformasi Sebuyau membuktikan keberkesanan dasar pembangunan luar bandar yang dilaksanakan kerajaan negeri selama ini.
“Suatu ketika dahulu, Sebuyau hanya boleh diakses melalui perahu, namun kini ia berubah sama sekali dengan jaringan jalan raya moden, jambatan baharu dan kemudahan asas yang semakin lengkap,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Regata Sebuyau 2025 di Tebingan Sungai Sebuyau hari ini.
Awang Tengah menyifatkan pembinaan jambatan terpanjang di Malaysia yang sedang dilaksanakan di Sebuyau sebagai lambang kemajuan pesisir Sarawak serta penghormatan kepada penduduk setempat.
Menurutnya, pembangunan berterusan seperti jalan pesisir, bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan awam telah membuka ruang ekonomi baharu termasuk perusahaan kecil, inap desa dan pelancongan sungai.
“Apabila infrastruktur lengkap, peluang ekonomi rakyat turut meningkat. Inilah hasil muafakat antara kerajaan, pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi,” tegasnya.
Beliau menambah, kerajaan negeri komited memperkukuh pembangunan Sebuyau agar muncul sebagai pekan strategik dan destinasi persinggahan utama di laluan pesisir, seiring aspirasi menjadikan kawasan itu sebagai enjin pertumbuhan baharu Sarawak.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Regata Sebuyau 2025 bermula sejak 12 Oktober lalu dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan memancing, memanah, futsal, sukan petanque dan persembahan artis jemputan.