Sarawak, Korea jalin kerjasama industri semikonduktor, AI

KUCHING: Kerjasama strategik SMD Semiconductor bersama syarikat gergasi teknologi kecerdasan buatan (AI) Rebellions Inc. Korea Selatan menyerlahkan lagi keupayaan Sarawak sebagai rakan teknologi di peringkat global.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu mencerminkan keyakinan syarikat antarabangsa terhadap keupayaan Sarawak sebagai rakan teknologi yang dipercayai dalam ekosistem semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Perkongsian ini merupakan satu lagi kejayaan untuk SMD Semiconductor susulan kerjasama awalnya dengan United Kingdom mengenai pembuatan semikonduktor mampan termaju, latihan tenaga kerja dan pembangunan baharu teknologi termaju, katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Rebellions Inc, Sung Hyun Park di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.

Premier Sarawak menegaskan, pencapaian ini telah membawa asas bagi Sarawak untuk menyelaraskan dengan High Bandwidth Memory (HBM) Rebellions yang inovatif dan seni bina aliran data dioptimumkan yang diterajui cip.

Rebellions adalah peneraju teknologi pemecut AI dengan kepakaran dalam High Bandwidth Memory (HBM) yang membolehkan penghasilan cip berkelajuan tinggi dan menjimatkan tenaga.

Melalui sinergi ini, Abang Johari berkata, SMD Semiconductor dan Rebellions akan bekerjasama dalam pemindahan teknologi, latihan tenaga kerja serta pembangunan cip berprestasi tinggi bagi pasaran serantau.

Katanya, kerjasama ini selaras dengan visi negeri ini untuk membangunkan ‘Integrated Longhouse Silicon Valley’ dan menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi.

Beliau meramalkan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sektor angkasa lepas akan menjadi bidang penting yang memerlukan banyak cip dan komunikasi digital seiring kemajuan teknologi dan fungsi satelit.

Katanya, ekosistem yang bakal dibangunkan dengan sokongan Rebellions dijangka menjadi pemangkin utama kepada usaha Sarawak memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi tinggi serantau.