MUDeNR penyelaras pelaksanaanSSGP

KUCHING: Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) kini diberi tanggungjawab utama menyelaras pelaksanaan penyahtauliahan Saluran Paip Gas Sabah–Sarawak (SSGP) serta menilai potensi penggunaan semula laluan rizabnya bagi kegunaan masa depan.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah ini merupakan sebahagian strategi negeri untuk memaksimumkan penggunaan aset tenaga sedia ada, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan industri baharu berasaskan kelestarian tenaga.

“Proses penyahtauliahan berkenaan turut melibatkan penyerahan laluan rizab SSGP daripada PETRONAS kepada Kerajaan Sarawak, yang menandakan peralihan penting ke arah pengukuhan kawalan negeri terhadap aset tenaga strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan mengenai Program Penyahtauliahan dan Penggunaan Semula Paip Gas SSGP bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) di sini, hari ini.

Awang Tengah menjelaskan bahawa sebuah Jawatankuasa Penyelarasan Penyahtauliahan Paip Gas Sabah dan Sarawak (SDCC) ditubuhkan bagi memastikan setiap peringkat pelaksanaan dijalankan dengan teratur dan mematuhi piawaian industri serta aspirasi negeri.

“Jawatankuasa ini akan memantau kerja penyahtauliahan oleh PCSB, selain memastikan proses penyerahan aset berjalan dengan lancar dan menepati prinsip kelestarian,” ujarnya.

Dalam mesyuarat itu, PCSB turut membentangkan laporan terperinci mengenai keadaan semasa SSGP serta beberapa cadangan projek yang berpotensi menggunakan semula infrastruktur sedia ada, tertakluk kepada penilaian teknikal dan kelestarian tapak.

Kesemua pihak bersetuju untuk terus bekerjasama dalam mengenal pasti peluang ekonomi baharu menerusi penggunaan semula laluan paip tersebut, dengan menekankan aspek keselamatan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar sebagai keutamaan.