KUCHING: Seramai 22 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada pelbagai sekolah di sini dipilih mengikuti Klinik Akademix SPM 2025 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dan dikendalikan Akademix Sdn. Bhd.
Klinik sehari diadakan 19 Oktober lalu itu memfokus kepada program ulang kaji dan motivasi itu bertujuan meingkatkan kecekapan dalam menduduki peperiksaan SPM.
Berlangsung di Pusat Sumber Tun Openg, Kampung No. 1 di sini, program itu memberi penekanan kepada subjek Matematik, Matematik Tambahan dan Fizik oleh Cikgu Hafeez dan Cikgu Nurul.
Konsep program pula menggabungkan kekuatan, teknik penyelesaian masalah dan ulang kaji berorientasikan peperiksaan untuk melengkapkan pelajar menduduki peperiksaan SPM.
Inisiatif itu diperkenalkan oleh Pengurus Besar AKYBMS, Dato Sanib Said dengan matlamat membangunkan belia melalui pendidikan. Kebanyakan peserta daripada keluarga B40, mengikuti klinik itu secara percuma.
Pengasas Akademix, Muhammad Hafeez Sabparie yang mengucap terima kasih atas kerjasama itu berkata, “Apabila kita menggabungkan sumber dengan masyarakat, kita akan melengkapkan pelajar untuk mencapai kejayaan dan menyerlahkan potensi mereka”.