KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membayangkan air sungai akan menjadi sumber pendapatan baharu bagi Sarawak.
Beliau berkata, air yang kini menjadi komponen penting menghasilkan hidrogen dan tenaga hidro, boleh dirawat selain untuk kegunaan rakyat sendiri sekali gus boleh dijual kepada syarikat yang melabur di negeri ini.
“Oleh itu, Kerajaan Sarawak merancang membina jalan raya baharu di kawasan Baram bagi menerokai potensi air berkenaan,” katanya pada forum Persidangan Belanjawan Sarawak 2026 di BCCK hari ini.
Menurutnya, jalan raya baharu yang dirancang ialah dari Miri menghubungkan Marudi, Long Terawan, Long Panai dan ke Mulu dan bersambung ke Gunung Buda.
Jalan raya baharu itu apabila siap pada tahun 2030, katanya, akan membangunkan koridor utara Sarawak yang dikenali pasti mempunyai banyak sumber air dan menghubungkan kawasan-kawasan terpencil.
Untuk membangunkannya, beliau berkata, Sarawak perlu bersedia mulai daripada sekarang dari segi menyediakan tenaga kerja berkemahiran, meningkatkan akses dan menarik pelaburan dalam membangunkan ekonomi hijau negeri.
Atas sebab itu, katanya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebahagian besar daripada Belanjawan Sarawak 2026 untuk membangunkan kawasan luar bandar dan pendidikan.
“Dalam rangka lawatan saya ke Wilayah Jiangsu di China baru-baru ini, ada sebuah syarikat menyatakan minat untuk berkolaborasi dengan Sarawak membangunkan Kuching Hab Karbon Rendah,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan merancang membangunkan Sarawak sebagai hab tenaga hijau Asia untuk menjayakan PCDS 2030 dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Dalam pada itu, tambahnya, rakyat Sarawak juga harus bersedia menerima perubahan dengan menukarkan cara berfikir secara lama kepada baharu terutama dalam memodenkan sektor pertanian.
“Dalam merancangkan belanjawan untuk negeri ini setiap tahun, kita harus menyesuaikannya dengan keperluan dan kehendak rakyat. Jika rakyat menerima apa yang kita rancangkan, mudahlah bagi kerajaan melaksanakan program pembangunan mengikut cara moden,” katanya.
Hadir sama, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad, Pengasas dan Rakan Kongsi Pengurusan Kumpulan Salihin Dato Dr Salihin Abang.
