Wanita Sarawak terima manfaat program Wanita Dinamik, PERANTIS – Nancy

KUCHING: Seramai 21,274 wanita di seluruh negara berjaya menjana pendapatan dan berdikari menerusi Program Wanita Dinamik sejak diperkenal 2021.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, di Sarawak sahaja hampir 8,000 wanita menerima manfaat program berkenaan, dengan setiap peserta diberikan geran RM500 bagi menyokong perusahaan kecil masing-masing.

“Bagi Sarawak, hampir RM4 juta diperuntukkan khusus untuk menyokong dan memperkasakan peluang keusahawanan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo yang berlangsung di Hotel Pullman, di sini, hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan majlis tersebut.

Selain itu, Nancy berkata kementeriannya turut memperkukuhkan kepimpinan wanita melalui pelaksanaan program PERANTIS, melibatkan 100 wanita terpilih di seluruh negara, termasuk 11 peserta dari Sarawak.

“Menerusi program ini, setiap peserta menerima geran berjumlah RM50,000 bagi melatih wanita lain dalam bidang kepimpinan, kreativiti dan keusahawanan,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut l memberi manfaat kepada 4,122 peserta, termasuk 644 peserta dari Zon Borneo.