KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan insentif kepada atlet dari 14 negeri yang memenangi pingat pada temasya SOPMA XXII Sarawak pada tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebelum ini, kerajaan negeri lazimnya hanya memberikan insentif kepada atlet Sarawak yang memenangi acara sukan tertentu.
Namun katanya, pada tahun ini Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan insentif diberikan bukan sahaja kepada atlet tuan rumah, malah kepada semua pemenang dari 14 negeri yang mengambil bahagian.
“Insentif hanya diberi kepada atlet negeri sendiri, tetapi kali ini ia diberikan kepada semua negeri yang menyertai,” katanya selepas majlis penyerahan insentif itu di sini, semalam.
Tambah beliau, insentif yang diberi adalah sama rata mengikut kategori pingat iaitu emas, perak dan gangsa. Perkiraannya seragam tanpa mengira negeri.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan insentif yang disediakan berjumlah RM399,000 melibatkan atlet dari kesemua 14 negeri termasuk Sarawak.
Daripada jumlah tersebut, seramai 20 atlet Sarawak turut menerima insentif berdasarkan pencapaian masing-masing.
Katanya lagi, jumlah agihan kepada setiap negeri ditentukan berdasarkan bilangan pingat emas, perak dan gangsa yang dimenangi atlet negeri berkenaan.
Beliau juga berharap agar persatuan dan atlet dari negeri lain menghargai inisiatif berkenaan sebagai tanda sokongan dan pengiktirafan terhadap pencapaian mereka.
