Aidilfitri kukuhkan keharmonian kaum, kepelbagaian budaya rakyat Sarawak

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyaran rakyat negeri ini agar terus memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan sempena Aidilfitri yang diraikan dalam suasana penuh harmoni dan ukhuwah.

Dalam perutusan sempena 1 Syawal, beliau menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana rakyat Sarawak sekali lagi diberi kesempatan menyambut Syawal dalam keadaan aman dan kondusif.

Sambil menegaskan bahawa Ramadan yang berlalu mendidik umat Islam tentang kesabaran, empati serta keikhlasan dalam beribadah, tambah beliau.

Menurut beliau, kedatangan Syawal bukan sahaja melambangkan kemenangan menahan hawa nafsu, malah menjadi asas kepada pembentukan masyarakat yang lebih berakhlak dan berdaya tahan, sekali gus memperkukuh nilai keimanan dalam kehidupan seharian.

Tun Dr Wan Junaidi turut menekankan kepentingan nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab yang dipupuk sepanjang Ramadan agar terus diamalkan dalam setiap lapisan masyarakat termasuk dalam kalangan pemimpin, penjawat awam dan sektor swasta.

Beliau berkata, sambutan Aidilfitri di Sarawak mempunyai keunikan tersendiri apabila ia diraikan oleh masyarakat berbilang kaum dan agama, sekali gus mencerminkan keharmonian serta semangat perpaduan tinggi yang menjadi tunjang kestabilan negeri.

“Tradisi rumah terbuka dan amalan ziarah-menziarahi membuktikan bahawa kepelbagaian budaya bukan penghalang, sebaliknya menjadi jambatan yang mengeratkan hubungan antara rakyat,” katanya sambil mengajak masyarakat memanfaatkan Syawal untuk saling bermaafan dan memperkukuh silaturahim.

Mengulas pembangunan negeri, beliau memuji kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berjaya membawa Sarawak ke arah kemajuan termasuk melalui kerjasama antarabangsa, pembangunan ekonomi digital, teknologi hijau serta pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti penubuhan syarikat penerbangan negeri.

Tambahnya, usaha memperkukuh ekonomi hidrogen, pelaburan pusat data dan inovasi teknologi menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga bersih dan ekonomi digital serantau, di samping mengekalkan perpaduan sebagai asas utama kestabilan politik dan sosial negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota keselamatan dan petugas barisan hadapan serta menasihati rakyat agar sentiasa berhati-hati ketika pulang ke kampung halaman, sambil mengajak semua pihak terus memelihara perpaduan demi memastikan Sarawak kekal makmur dan harmoni.