Tanah gambut berpotensi jana pendapatan Sarawak

SIMANGGANG: Sarawak bersedia mengubah kawasan tanah gambut menjadi sumber kekayaan baharu negeri menerusi perdagangan karbon global, sekali gus meletakkan pemuliharaan alam sekitar sebagai pemangkin ekonomi masa depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tanah gambut mempunyai keupayaan luar biasa menyimpan karbon sehingga empat kali ganda lebih tinggi berbanding pokok, menjadikannya aset strategik dalam usaha menangani perubahan iklim dan menjana pendapatan baharu.

Menurut beliau, karbon yang kekal tersimpan dalam tanah gambut boleh mempunyai nilai ekonomi sekiranya kawasan berkenaan dipelihara daripada sebarang gangguan pembangunan.

“Jika kita membiarkan kawasan tanah gambut tanpa gangguan, karbon akan kekal tersimpan dalam tanah dan tidak dilepaskan ke atmosfera.

“Nilai simpanan karbon itu boleh diterjemahkan kepada pulangan ekonomi melalui pasaran karbon,” katanya ketika merasmikan Jambatan Batang Lupar 2, di sini hari ini.

Bagi memastikan simpanan karbon semula jadi terus terpelihara, beliau mencadangkan pembinaan jalan raya bertingkat menggunakan struktur tiang di kawasan tanah gambut pada masa depan.

Menurutnya, pendekatan itu mungkin memerlukan kos pembinaan lebih tinggi, namun manfaat jangka panjang melalui pemuliharaan sumber karbon dan potensi pendapatan daripada perdagangan karbon mampu mengimbangi pelaburan tersebut.

“Jangan terkejut dengan pendekatan baharu ini. Kita sedang mencari sumber pendapatan tambahan untuk Sarawak dalam ekonomi yang semakin berkembang,” katanya.

Abang Johari turut memaklumkan beliau telah mengarahkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama jurutera dan saintis negeri meneliti kaedah pembinaan jalan raya baharu di kawasan tanah gambut menggunakan struktur bertingkat yang lebih mesra alam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata hasil negeri terus mencatat peningkatan memberangsangkan daripada RM6 bilion pada 2016 kepada anggaran RM15 bilion tahun depan.

Peningkatan hasil itu membolehkan kerajaan mempercepat pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya dan jambatan bagi meningkatkan hubungan antara kawasan di seluruh Sarawak.

Pendekatan yang menggabungkan pemuliharaan alam sekitar dengan penjanaan kekayaan baharu itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju ekonomi hijau serta pemain penting dalam pasaran karbon global.