KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Iskandar Turkee, komited merealisasikan agenda pembangunan di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) jika diberi mandat.
Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh penduduk Jepak.
Iskandar turut berterima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas kepercayaan memilihnya sebagai calon GPS pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
“Saya bersyukur atas kepercayaan yang diberikan dan berharap dapat menyambung semula perkhidmatan untuk tempoh lima tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Calon GPS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.
Ujarnya, amanah itu juga bagi memastikan GPS terus kukuh dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengekalkan kemenangan di Jepak.
Menurutnya, perkembangan ekonomi di bandar Bintulu dijangka memberi manfaat kepada penduduk.
“Saya berharap semua pengundi Jepak memberikan mandat kepada GPS bagi memastikan Sarawak terus maju, makmur dan disegani,” jelasnya. – IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI
