KUCHING: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Beting Maro, Awg Nashfarini Awg Sarbini mahu memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan ekonomi di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, usaha menyelesaikan permasalahan infrastruktur serta menyantuni rakyat turut menjadi keutamaannya dalam mendepani Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
“Yang penting sekali kita kena menyantuni pengundi dan rakyat di kawasan kita.
“Pembangunan di kawasan yang penting sekali kita nak lihat adalah dari segi pendidikan, kesihatan dan ekonomi,” katanya.
Nashfarini berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan watikah pelantikan calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jalan Bako, di sini, semalam.
Dalam masa sama,meskipun merupakan calon muka baharu, beliau mempunyai pengalaman luas dalam arena politik, termasuk berkhidmat selama lapan tahun bersama penyandang DUN Beting Maro, Datuk Razaili Gapor, sebelum bersama Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti, khususnya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepercayaan mencalonkannya di kawasan berkenaan.
Anak kelahiran Kampung Pusa yang kini menetap di Kampung Beladin itu juga merupakan Ketua Pemuda PBB Beting Maro dan Exco Pergerakan Pemuda PBB Sarawak.
