SIMANGGANG: Sarawak sekali lagi mencipta sejarah apabila Jambatan Batang Lupar 2 secara rasmi dirasmikan hari ini, sekali gus menjadi jambatan mega ke-14 yang berjaya disiapkan di bawah program pembangunan jambatan utama negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen Kerajaan GPS di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menunaikan janji pembangunan kepada rakyat.
Beliau menyifatkan 2026 sebagai tahun menuai hasil pembangunan jambatan apabila projek mega yang dirancang sebelum ini mula siap dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Hari ini Sarawak sekali lagi mencipta satu detik bersejarah dalam kejayaan pembangunan infrastruktur negeri.
“Tahun ini adalah tahun kita menuai jambatan. Pada petang ini kita merasmikan Jambatan Batang Lupar 2 yang merupakan jambatan mega ke-14 siap di bawah program pembinaan jambatan utama oleh JKR Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 2 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak hari ini.
Jambatan sepanjang 870 meter itu dibina dengan kos RM223.63 juta mengikut Piawaian JKR R5, menghubungkan Sri Aman dengan Betong melalui Batang Lupar.
Jambatan berkonsepkan jambatan kabel-penahan itu mempunyai menara konkrit setinggi 145.5 meter dan menerima pengiktirafan Buku Rekod Malaysia sebagai Menara Sokongan Jambatan Kabel Tertinggi di Malaysia.
Menariknya, reka bentuk jambatan turut mengambil kira pemeliharaan fenomena alam Benak yang menjadi identiti dan tarikan pelancongan Bandar Sri Aman.
Menurut Uggah, keputusan Premier meluluskan projek itu membawa perubahan besar kepada penduduk, khususnya keluarga yang sering berulang-alik antara Simanggang dengan Betong.
“Janji ditepati. Bukan sekadar kata-kata, tetapi rakyat kini dapat melihat sendiri jambatan demi jambatan siap dibina,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 22 jambatan mega dirancang di seluruh Sarawak, dengan 21 dilaksanakan JKR Sarawak dan sebuah lagi di Lawas oleh RECODA, melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM7 bilion daripada dana kerajaan negeri.
Pembangunan itu turut dilengkapi jaringan Jalan Utama Kedua Sarawak (SSTR) dan Jalan Pesisir Pantai (CSTR) yang melibatkan peruntukan RM11 bilion bagi meningkatkan hubungan antara kawasan.
Bagi penduduk Sri Aman dan Betong, jambatan itu membawa perubahan besar apabila perjalanan yang sebelum ini mengambil masa kira-kira satu jam sejauh 73 kilometer kini hanya sekitar 20 minit dengan jarak 28 kilometer.
Uggah berkata, jaringan infrastruktur berkenaan menjadi pemangkin ekonomi apabila memudahkan pengangkutan hasil pertanian, membuka peluang perniagaan, mempercepat perkhidmatan kecemasan serta merancakkan sektor pelancongan.
Beliau menegaskan transformasi infrastruktur itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan GPS meningkatkan ekonomi dan pendapatan rakyat, termasuk sasaran pendapatan isi rumah RM15,000 menjelang 2030.
