Pembentukan sahsiah remaja terancam, jika salah guna AI

BETONG: Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) kini dilihat mampu memberi kesan terhadap pembentukan keperibadian generasi muda.

Selain itu meningkatkan risiko pendedahan kepada jenayah siber seperti penipuan dalam talian.

​Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, penggunaan AI dalam kalangan remaja perlu dipantau serius agar tidak menjejaskan nilai budaya dan sahsiah diri.

​Beliau menegaskan kemajuan teknologi yang tidak dikawal boleh menjadi cabaran utama dalam pembangunan modal insan sekiranya generasi muda terlalu bergantung kepada teknologi tanpa bimbingan sewajarnya.

​Katanya, penggunaan AI tanpa pengawasan akan membentuk peribadi yang mudah terpengaruh dan terdedah kepada pelbagai ancaman digital yang semakin kompleks pada masa kini.

​Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong, semalam. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.

​Rentap yang juga ADUN Layar turut mengingatkan kestabilan politik di Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan fizikal dan modal insan dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.

​Pada majlis tersebut, sejumlah sumbangan berjumlah RM50,000 telah diumumkan oleh barisan pemimpin terlibat bagi menyokong aktiviti jawatankuasa induk dan penduduk setempat.

​Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan cek geran berjumlah RM110,000 daripada Lembaga Khairat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) kepada 13 pertubuhan tempatan termasuk masjid, surau, dan badan bukan kerajaan (NGO).