Sarawak kekal antara negeri aman di Malaysia

SIBU: Sarawak masih kekal sebagai antara negeri yang paling aman di Malaysia.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi mengekalkan situasi tersebut.

Beliau berkata, ini khususnya di Sibu yang mempunyai populasi melebihi 200,000 penduduk.

“Pengalaman luas yang dimiliki Ketua Polis Daerah dan Timbalan Ketua Polis Daerah yang baharu, saya yakin mereka mampu meneruskan kecemerlangan kepimpinan sebelum ini serta memperkukuh lagi keselamatan di Sibu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Sibu di Wisma Pengaman IPD Sibu, hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan Superitenden Balamurugan A/L Govindan menyerahkan tugas jawatan Ketua Polis Daerah Sibu kepada ACP Azahari Miskon.

Turut berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Sibu antara Leena Asing kepada Dr Nurzeiti Yuslinda Yusof.

Turut hadir Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, Datin Dr Nitce Isa Medina Machmudi Isa, dan Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak, SAC Zulkipli Suhaili.