SAMARAHAN: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) N16 Muara Tuang, Dr. Dayang Nurfizawati Abang Karim menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.
Dr. Dayang Nurfizawati dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dicadang oleh Awang Edi Awang Chi dan disokong oleh Erine Gadul.
Beliau tiba di pusat penamaan calon di Dewan Suarah Kota Samarahan pada jam 9 pagi diiringi oleh kira-kira 1,500 penyokong jentera parti DUN Muara Tuang berarak dari Masjid Darul Taqwa, Kampung Muara Tuang.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Muara Tuang Ahmad Abdul Razak mengesahkan kemengan tersebut pada jam 10.15 pagi selepas hanya menerima satu sahaja kertas penamaan calon.
Dalam perkembangan yang sama, Dr. Dayang Nurfizawati berkata, beliau berasa bersyukur dan gembira selepas diiumumkan menang tanpa bertanding.
“Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada penyokong dan pencadang yang membantu dalam proses penamaan calon.
“Saya berharap dapat menjalankan amanah ini dengan ikhlas demi warga Muara Tuang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Hari Penamaan Calon DUN Muara Tuang di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, hari ini. IQHWAN HAMDAN / JIWA BAKTI
