KUCHING: Tanpa perlu menunggu hari pengundian pada 12 Disember ini, tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Petra Jaya sudah memperoleh mandat baharu selepas masing-masing diumumkan menang tanpa bertanding.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Tupong, Samariang dan Satok itu merupakan perkembangan memberangsangkan, namun turut membawa tanggungjawab lebih besar untuk meneruskan pembangunan serta menjaga kebajikan rakyat.
“Semua calon DUN dalam kawasan Parlimen Petra Jaya menang tanpa bertanding. Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada parti-parti yang tidak menghantar calon mereka,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di SMK Petra Jaya, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Datuk Ibrahim Baki (DUN Satok), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (DUN Samariang) dan Dato Fazzrudin Abdul Rahman (DUN Tupong) mengekalkan kerusi masing-masing.
Fadillah yang juga Naib Yang di-Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, kemenangan tersebut perlu diterjemahkan melalui perkhidmatan berterusan kepada masyarakat, selain memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Terdahulu, beliau mengiringi Fazzrudin bersama penyokong GPS ke pusat penamaan calon di Dewan Al Muneerah, SMK Petra Jaya, sebelum kemenangan penyandang Tupong itu diumumkan pada jam 10.05 pagi selepas tiada pencabar mengemukakan pencalonan.
Sebelum itu, Fadillah turut bertemu dengan Ibrahim Baki dan Sharifah Hasidah.
Untuk rekod, GPS mempertahankan ketiga-tiga kerusi berkenaan menerusi pertandingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021, namun kali ini memperoleh kemenangan tanpa bertanding, sekali gus menyumbang kepada keseluruhan 29 kerusi yang dimenangi gabungan tersebut dan mengatasi rekod 19 kerusi pada 1996.
