Menang GPS, pembangunan Sarawak lancar

TANJUNG MANIS: Kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 penting bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, rakyat perlu menggunakan hak mengundi dengan bijak kerana setiap keputusan yang dibuat menerusi peti undi memberi kesan kepada masa depan.

Katanya, pengalaman perubahan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 perlu dijadikan iktibar apabila beberapa perancangan pembangunan Sarawak, termasuk projek pembinaan jambatan, turut terkesan.

“Jangan biarkan emosi mempengaruhi keputusan sehingga kepentingan rakyat terjejas. Kita boleh berbeza pandangan, namun undi yang dibuat akan menentukan hala tuju pembangunan lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kemudahan Rekreasi dan Riadah Kampung Jerijeh Baru di sini, hari ini.

Len Talif berkata, pelbagai usaha kerajaan bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk memperkenalkan dasar pendidikan percuma kepada anak Sarawak yang memenuhi syarat.

Sehubungan itu, kemudahan rekreasi dan riadah Kampung Jerijeh Baru dibangunkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM600,000.

Foto Kredit : Len Talif Salleh (FB)