Calon GPS perlu elak kontroversi, buat kerja dan jaga disiplin

“JAGA disiplin sepanjang tempoh berkempen, jangan buat janji berlebihan kepada pengundi.”

Itu antara pesanan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada semua calon gabungan itu.

“Calon perlu berhati-hati dalam setiap percakapan dan kenyataan bagi mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan masalah sepanjang proses pilihan raya,” katanya pada majlis penyerahan watikah kepada Calon GPS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13 di Ibu Pejabat PBB pada 26 November lalu.

Pesanan dan ingatan itu perlu dihayati oleh setiap calon kerana setiap gerak-geri mereka terutama muka baharu akan menjadi perhatian 24 jam sebaik selesai pengumuman nama calon 25 November dan selepas penamaan calon 28 November lalu.

Tutur kata, kenyataan dan apa-apa janji dilontarkan – akan dirakam bukan sahaja oleh pengundi di kawasan masing-masing, malah netizen di mana-mana sahaja.

Sebarang kenyataan berbentuk negatif, provokasi, dan yang menyentuh isu kaum dan agama, bukan sahaja boleh menghilangkan undi, malah berupaya menjejas imej GPS itu sendiri.

Bayangkan ucapan awam anda boleh menjadi ‘viral’ dalam sekelip mata dalam zaman internet dan TikTok sekarang.

Setakat ini, malah sebelum ini pun, belum ada wakil rakyat GPS khususnya Parti PBB yang cenderung ke arah itu.

“Anda yang menjadi calon, jadilah seperti pengantin. Jangan terlalu banyak membuat janji. Biarkan orang lain bercakap, anda ibarat macam pengantin. Selepas pilihan raya, jika mahu bercakap, bercakaplah,” kata Abang Johari lagi.

Satu lagi perkara yang sentiasa menjadi viral atau ‘troll’ di media sosial ialah tahap pembangunan di kawasan DUN masing-masing.

Tetapi wakil rakyat terutama penyandang tidak perlu risau bab ini jika anda seseorang yang benar-benar membawa pembangunan untuk dinikmati rakyat di kawasan.

Kadangkala apa yang viral tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar.

Persoalan yang timbul ialah mengapa ‘troll’ (atau trolling) di sosial media oleh netizen tentang tahap sumbangan pembangunan wakil rakyat kurang mempengaruhi keputusan pemimpin tertinggi parti terutama Premier Sarawak untuk ‘mengugur atau menamatkan’ tempoh seseorang wakil rakyat?

Ini adalah kerana tabiat budaya kerja Abang Johari yang memantau dengan ketat setiap pembangunan di setiap daerah dan bahagian di Sarawak melalui Jawatankuasa Pembangunan Bahagian (DDC) yang dipengerusikan oleh Premier Sarawak sendiri.

Setiap agensi kerajaan terutama agensi pelaksana seperti JKR, DID, Sesco, JBALB, Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) sama ada di peringkat daerah atau bahagian mesti melapor dengan kerap tentang pelaksanaan projek di semua kawasan di seluruh negeri.

Mesyuarat DDC yang dikoordinasi oleh Setiausaha Kerjaan Negeri diadakan di pejabat setiap bahagian dari semasa ke semasa dan dipengerusikan oleh Premier Sarawak sendiri.

Semua pengarah setiap agensi mesti hadir untuk melapor dalam mesyuarat tentang status pelaksanaan dalam setiap bahagian tersebut.

Turut hadir ialah semua wakil rakyat dalam bahagian terbabit.

Oleh itu, boleh dirumuskan bahawa Premier Sarawak amat sedia maklum tentang status semua projek sama ada dilaksanakan mengikut jadual, lambat atau isu teknikal sesuatu projek.

Antara agensi penting yang bertangungjawab memantau semua projek ini ialah SIMU Sarawak iaitu State Implementation Monitoring Unit atau Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak di bawah Jabatan Premier Sarawak dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Begitulah kaedahnya dalam usaha memastikan setiap projek dilaksanakan dengan pemantauan rapi.

Pada majlis penyerahan watikah itu, Abang Johari turut memberi perhatian khusus kepada 11 calon baharu GPS dengan menyatakan keperluan mengadakan sesi penerangan khas bagi memastikan mereka memahami prosedur dan peraturan pilihan raya sebelum memulakan kempen.

Katanya, calon yang pernah bertanding sebelum ini sudah mempunyai pengalaman dan memahami proses pilihan raya, manakala calon baharu memerlukan pendedahan tambahan sebagai persediaan menghadapi PRN kali ini.

Apa pun, gabungan muka lama dan baharu adalah ideal.

Bagi sesetengah pihak, ada berlaku kejutan calon ditampilkan dan bagi yang lain, ia seperti dijangka. Namun, ada pula elemen di luar jangkaan – tiada dalam radar tetapi tampil dicalonkan yang pastinya sudah berada dalam ‘radar dalaman’ tanpa pengetahuan umum sejak kebelakangan ini.

Kepada golongan veteran yang tidak dicalonkan semula, anggaplah itu sebagai ‘putaran’ roda. Tentu anda (wakil rakyat) masih ingat ketika mula-mula dinamakan sebagai calon dahulu, apabila yang dahulunya memberi laluan kepada anda sebagai orang muda. Sekarang giliran anda berbuat demikian.

Namun, langkah GPS menampilkan 11 muka baharu dan mengekalkan sebahagian ‘orang lama’ adalah gabungan yang ideal untuk meneruskan perjuangan demi rakyat.

Purata umur calon GPS dianggarkan sekitar 60 tahun, dengan kumpulan 60 hingga 69, paling ramai.

Secara kumulatif, anggarannya ialah 36 calon bawah 60 tahun, 10 calon bawah 50 tahun dan lima calon bawah 40 tahun.

Paling berusia Tan Sri William Mawan Ikon, yang genap 77 tahun 1 Disember ini, sebagai calon di DUN Pakan, manakala calon paling muda ialah muka baharu, Nurfatin Syafawani Tahamat, 34 tahun untuk N71 Bekenu, seorang jurutera.

Agak mustahil untuk mencalonkan semua anak muda, muka baharu meskipun wujud tuntutan di kawasan tertentu supaya ‘ubah’. Ini kerana iklim politik kepartian secara keseluruhannya memerlukan keseimbangan.

Sudah tentu, Premier Sarawak memikirkan secara mendalam sebelum memuktamadkan pemilihan calon, yang dianggap ‘winnable’ (boleh menang) walaupun seseorang sudah berusia.

Sebagai mengakhiri coretan ini, mari kita renung sejenak kata-kata berikut:

“Jangan kerana menghormati orang lama, kita menutup peluang orang muda. Jangan kerana memberi ruang kepada orang muda, kita melupakan jasa orang lama. Kedua-duanya ada peranan, kedua-duanya ada sumbangan.”

“Orang lama dihormati, orang muda diberi peluang. Pengalaman menjadi panduan, tenaga muda menjadi harapan.”

“Jangan putuskan jambatan antara generasi, kerana masa depan yang gemilang dibina dengan kebijaksanaan semalam dan keberanian hari ini.”

Oleh Kadir Dikoh