KUCHING: Sebanyak 721 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 telah dijual setakat malam tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, Dato’ Sri Ramlan Harun berkata,borang telah dibeli oleh parti- parti politik dan juga Individu.
Bagaimanapun, beliau berkata, SPR belum mempunyai pecahan jumlah pembelian borang mengikut parti politik dan calon bebas.
“Sebanyak 721 borang penamaan calon telah dijual kepada parti-parti politik dan individu yang menyatakan minat untuk bertanding.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 40 calon telah membayar deposit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau persiapan dan simulasi proses penamaan calon bagi DUN Semariang, di Dewan Serbaguna Taman Sukma, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Ramlan berkata, kesemua 82 pusat penamaan calon di seluruh Sarawak telah bersedia sepenuhnya bagi proses penamaan calon yang akan berlangsung dari pukul 9 hingga 10 pagi esok.
Justeru, beliau turut menggesa semua calon supaya hadir awal serta membuat semakan awal borang pencalonan dengan pegawai pengurus masing-masing atau di pejabat SPR di Kuching.
Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak yang terlibat sentiasa mematuhi peraturan dan arahan SPR serta pihak berkuasa.
“Ini bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan aman, tertib dan teratur,” tegasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai unjuran keluar mengundi, beliau berkata ia hanya akan dapat dibuat selepas proses penamaan calon selesai.
Jelas beliau, proses penamaan calon akan memberikan gambaran yang lebih jelas untuk SPR membuat unjuran berkenaan.
“Saya lebih selesa untuk membuat unjuran kami selepas kita melihat penamaan calon esok.
“Ini kerana ia akan memberi kesan yang besar kepada keadaan keluar mengundi,” katanya.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
