LAWAS: Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perpaduan masyarakat, sebaliknya rakyat perlu terus memelihara keharmonian yang menjadi asas penting kepada pembangunan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kepelbagaian kaum dan pandangan politik perlu dihormati kerana kemajuan negeri ini bukan hasil usaha satu kelompok masyarakat semata-mata, sebaliknya sumbangan bersama seluruh rakyat.
“Politik bukan bertujuan untuk memecahbelahkan masyarakat. Sarawak adalah milik semua kaum dan negeri ini bukan dibangunkan oleh satu kaum sahaja, sebaliknya ia adalah hasil usaha semua kaum,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Skim Penempatan Semula (SPS) Banting, di sini, hari ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari itu turut menekankan kepentingan meneruskan agenda pembangunan Lawas, khususnya penambahbaikan jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik serta kemudahan telekomunikasi, pendidikan dan kesihatan yang masih memerlukan perhatian.
Menurutnya, Lawas telah mengalami perubahan ketara berbanding ketika beliau mula menjadi wakil rakyat, apabila kemudahan jalan berturap dan bekalan air yang dahulunya terhad kepada kawasan bandar serta kampung berhampiran kini semakin berkembang, namun masih banyak keperluan penduduk belum dipenuhi sepenuhnya.
Sehubungan itu, Awang Tengah berkata, mandat rakyat pada pilihan raya negeri akan datang penting bagi membolehkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
