KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki yang menang tanpa bertanding menyifatkan kemenangan itu bukan keistimewaan peribadi, sebaliknya amanah dan tanggungjawab lebih besar untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Datuk Ibrahim Baki, yang memenangi kerusi atas tiket Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, kepercayaan yang diberikan rakyat mendorong beliau untuk meneruskan agenda pembangunan dan memastikan kebajikan seluruh penduduk Satok terus terpelihara.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kepercayaan memilihnya sebagai calon GPS, selain berterima kasih kepada semua pihak yang membantu memastikan kemenangan itu.
“Saya turut menghargai barisan pimpinan Parti PBB kawasan Satok, parti komponen GPS
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh jentera parti.
“Ini bukan kemenangan peribadi saya atau keistimewaan, sebaliknya ia tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul demi rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman calon bagi DUN N8 Satok di Dewan Datu Merpati Jepang, Sekolah Kebangsaan (SK) Jepang, di sini, hari ini.
Pengumuman menang tanpa bertanding itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ramzi Abdillah.
Dalam pada itu, pencalonan Ibrahim Baki dicadang, Mohamad Akram Mohamed Karim dan disokong Samsuri Sapri.
Sementara itu, lebih 1,500 penyokong GPS mengiringi Ibrahim Baki dari Dewan Pertubuhan Anak Seni Kampung Bandarshah hingga ke SK Merpati Jepang.
Untuk rekod, Ibrahim Baki memenangi kerusi DUN Satok pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 (2021) dengan majoriti undi 6,003. Beliau mendapat 6,991 undi.
