GPS menang 29 kerusi tanpa tanding, bukti keyakinan rakyat

GEDONG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memenangi 29 kerusi tanpa bertanding pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13 mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kesinambungan agenda pembangunan yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak.

Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, malah keyakinan itu mendorong kerajaan meneruskan agenda pembangunan negeri, khususnya menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

“Alhamdulillah, nampaknya rakyat berkehendakkan pembangunan terus diusahakan khasnya di Sarawak kerana kita ada dasar PCDS ke arah 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong, selepas selesai proses penamaan calon di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, kepercayaan yang diberikan rakyat Gedong amat dihargai, sekali gus memperkukuh iltizamnya untuk meneruskan pembangunan kawasan berkenaan berdasarkan perancangan yang telah dirangka sehingga 2030.

Abang Johari menegaskan bahawa kemenangan tanpa bertanding tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang melemahkan proses demokrasi kerana rakyat tetap mempunyai hak untuk menentukan kepimpinan yang diberikan mandat mentadbir negeri.

Jelas beliau, kestabilan politik merupakan antara elemen penting dalam mewujudkan persekitaran kondusif bagi menarik pelaburan, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak.

“Dengan kestabilan ini sudah tentu ia menarik minat pelabur, orang luar dan rakyat Sarawak sendiri untuk mempertingkatkan ekonomi kita untuk masa depan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan bahawa disiplin organisasi dan kepatuhan terhadap keputusan parti merupakan prinsip penting dalam memastikan kesepakatan sesebuah gabungan politik.

“Kalau dia mesra GPS, terima kasih. Tetapi sudah tentu kalau dia bertanding luar pada GPS, itu tandanya tidak sepakat dengan GPS,” tegas beliau ketika mengulas kedudukan calon bebas yang menyatakan sokongan atau mesra GPS.