Len Talif kekal DUN Kuala Rajang tanpa bertanding

TANJUNG MANIS: Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Len Talif Salleh, terus diberi kepercayaan menerajui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang selepas disahkan menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRN) Sarawak Ke-13, hari ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ismail Kasah, mengisytiharkan kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu selepas tempoh penamaan calon bagi kerusi N.41 Kuala Rajang ditutup pada jam 10 pagi di Dewan IKS, di sini.

Len Talif merupakan satu-satunya calon yang mengemukakan kertas pencalonan sepanjang tempoh penamaan calon yang berlangsung selama sejam bermula jam 9 pagi, sekali gus membolehkan beliau mengekalkan kerusi berkenaan bagi penggal baharu.

Keputusan itu turut membolehkan beliau meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kawasan Kuala Rajang, termasuk memperjuangkan kepentingan penduduk serta memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan.

Dalam pilihan raya lalu, Len Talif memenangi kerusi berkenaan selepas meraih 5,268 undi dengan majoriti 3,325 undi, mengatasi calon Bebas, Datuk Seri Abang Aditajaya yang memperoleh 1,943 undi dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Wong Ling Ching (109) undi, dan Abdul Mutalip Abdullah (168) undi.