Kerajaan kenal pasti 14,000 hektar tanah untuk tanaman padi

SARATOK: Rakyat harus menjadikan tanah milik mereka sebagai aset jangka panjang yang mampu menjana pendapatan serta menjamin bekalan makanan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, tanah bukan sekadar hak milik, sebaliknya aset strategik bagi kestabilan ekonomi keluarga dan keterjaminan makanan negeri.

Menurutnya, dalam situasi global yang tidak menentu, pemilikan tanah membolehkan rakyat mengusahakan sumber makanan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.

Rundi berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Dewan Serbaguna Ladang Kelapa Sawit Roban Selatan, SALCRA, semalam.

Menurutnya, kira-kira 96 peratus tanah diserahkan kepada pemilik asal oleh SALCRA, manakala selebihnya masih dalam proses.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan memperkasa pertanian moden secara berkelompok dengan penekanan terhadap kualiti dan khidmat teknikal bagi meningkatkan produktiviti.

Kerajaan juga mengenal pasti kira-kira 14,000 hektar tanah untuk penanaman padi serta menyediakan kemudahan infrastruktur dan mekanisasi.

Pada majlis itu, seramai 280 penerima dari 105 rumah panjang menerima hak milik melibatkan 373 lot dengan keluasan 626 hektar.

Majlis turut menyaksikan prapelancaran logo ulang tahun ke-50 SALCRA sempena sambutan Jubli Emas agensi itu.