REDS mahu jadi rakan kongsi JPBN, bantu pengurusan bencana

KUCHING: Skuad Kecemasan Drone dan Radio Sarawak (REDS) berhasrat menjadi rakan kongsi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi membantu dalam pengurusan sebarang bencana.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Datuk Khirudin Drahman Hussaini sambil menambah, REDS banyak membantu pihaknya dalam pelaksanaan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Komunikasi radio sangat membantu untuk menjangkau banyak kawasan pedalaman yang belum mempunyai liputan selular,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier merangkap Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabatnya di sini hari ini.

Tambah Khirudin yang juga penasihat REDS, kunjungan hormat berkenaan bertujuan memberi taklimat mengenai peranan dan fungsi skuad berkenaan kepada Uggah.

“Kami memohon persetujuannya untuk menjadi penaung REDS bagi membolehkan JPBN beroperasi dengan lebih cekap dan berkesan.

“Lebih penting lagi, ia dapat membantu JPBN memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat Sarawak,” jelasnya.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi REDS Cr Lai Chau Leong.