Enam pendaki Sarawak berjaya tawan puncak Annapurna Base Camp

KUCHING : Selepas melalui jarak sejauh 53.44 kilometer (km) dengan anggaran 31 jam perjalanan merentasi laluan mencabar di Banjaran Himalaya, enam pendaki dari Sarawak akhirnya berjaya menamatkan ekspedisi pendakian ke Annapurna Base Camp (ABC), Nepal di sini baru-baru ini.


Seorang peserta Noraini Hamli berkata, turut bersama mereka adalah 12 peserta dari Semenanjung Malaysia dan mereka mendaki pada 14 Jun hingga 20 Jun lalu.

Perjalanan menuju ke Annapurna Base Camp yang terletak pada ketinggian 4,130 meter (m) dari aras laut mengambil masa empat hari dengan peserta bermalam di empat rumah penginapan berbeza.


“Kami bermalam di Chomrong (2,170 meter), Dovan (2,505 meter), Deurali (3,200 meter) sebelum tiba di Annapurna Base Camp.

“Sebaik tiba di destinasi utama, kami turut berpeluang menikmati keindahan Annapurna Sanctuary Mirror Lake, salah satu lokasi tarikan yang menawarkan pemandangan memukau dengan pantulan gunung-ganang yang mengelilingi kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau lagi, perjalanan turun pula mengambil masa dua hari satu malam dan perlu menginap di rumah Bamboo sebelum kumpulan meneruskan perjalanan ke Jhinu.

Sebaik tiba di Jhinu, mereka menaiki kenderaan menuju ke bandar Pokhara yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan.

Keesokan hari, rombongan bergerak pulang ke Kathmandu dengan perjalanan darat selama kira-kira tujuh setengah jam.
Secara keseluruhan, tempoh perjalanan pergi dan balik melibatkan masa bergerak selama 31 jam merentasi laluan pendakian yang mencabar.

Namun pengalaman menjejakkan kaki ke Annapurna Base Camp menjadi kenangan buat peserta.

Tambah Noraini, cuaca sepanjang ekspedisi secara keseluruhannya adalah baik, walaupun hujan turun seketika pada sebelah petang di beberapa lokasi sepanjang perjalanan.

“Kumpulan pendakian kami diurus oleh agensi pelancongan dan pendakian Bristlead Beast yang popular dalam kalangan pengembara Malaysia.

“Selain itu, kami dibantu oleh dua pemandu pelancong dari Nepal dan lima porter yang bertugas membawa barang keperluan sepanjang pendakian kami selama empat hari naik dan tiga hari turun,”katanya.

Noraini dan rakan rakanya turut memuji mutu pengurusan dan perkhidmatan yang disediakan oleh penganjur sambil menyatakan bahawa ekspedisi kali ini merupakan penyertaan ketiganya bersama syarikat berkenaan.

“Ini adalah kali ketiga saya menyertai ekspedisi bersama Bristlead Beast dan perkhidmatan yang diberikan memang terbaik,” katanya.

Kejayaan para pendaki ini sekali lagi membuktikan semangat serta ketahanan fizikal rakyat Sarawak dalam menakluk destinasi pendakian bertaraf antarabangsa yang terkenal sebagai antara trek paling indah di dunia.

Antara pendaki Sarawak yang berjaya menawan Annapurna Base Camp bersama Noraini ialah Fatimah Sarani Baton, David Padong Bakar, PW 2(B) Napun Abong , Nurul Izzatie Saufiee dan Junaidah Basri.

Dalam masa sama, mereka turut menukar bendera Sarawak yang ada di Himalaya dengan bendera baharu selepas bendera yang dipasang kumpulan terdahulu sebelum ini rosak dan koyak akibat cuaca.