KMKK, JKKK bantu perjelaskan dasar kerajaan pada rakyat

SIBU: Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menjadi tunjang dalam memastikan dasar serta inisiatif kerajaan disampaikan dengan berkesan kepada rakyat luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, KMKK dan JKKK merupakan penghubung utama antara kerajaan dan masyarakat dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

“Pelbagai cabaran ditempuhi bersama sepanjang tempoh saya berkhidmat sebagai wakil rakyat, namun KMKK dan JKKK terus menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Apresiasi KMKK Tanah Besar Daro di RH Hotel, di sini, malam Sabtu.

Majlis itu menghimpunkan KMKK, ahli-ahli JKKK serta ketua-ketua jabatan dari seluruh kawasan Tanah Besar Daro sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan akar umbi.

Dr Safiee berkata, pemimpin peringkat akar umbi itu beperanan sebagai barisan hadapan dalam membantu kerajaan mengurus dan menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Pengalaman itu membuktikan jentera pembangunan di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.