KUCHING: Perjanjian muktamad antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dijangka dapat dicapai dalam tempoh terdekat susulan perkembangan positif rundingan yang sedang berlangsung melibatkan kedua-dua syarikat tenaga berkenaan.
Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim memberitahu telah menerima laporan terkini mengenai perkembangan rundingan berkenaan dan menyifatkan kemajuannya sebagai sangat memberangsangkan.
Beliau menghargai peranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang turut membantu dalam usaha mencari penyelesaian terbaik.
“Saya berharap dalam tempoh terdekat kita dapat mencapai satu persetujuan muktamad antara PETRONAS dan PETROS bagi mengangkat martabat ekonomi kita di Sarawak dan juga di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Turut hadir, isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan anaknya, Dayang Norjihan.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, beliau bersama Premier menekankan kepada kedua-dua PETRONAS dan PETROS supaya mengutamakan kepentingan bersama serta menjalin kerjasama erat dalam situasi menang-menang.
Ujarnya, kedua-dua pihak sama ada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak menggesa perkara ini diselesaikan secara adil, saksama dan penuh keadilan antara kedua-dua rakan strategik tersebut sebagai satu pasukan.
Tambahnya, peluang yang tersedia menerusi kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat tenaga tersebut amat besar dan perlu dimanfaatkan secara optimum demi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Tegasnya lagi, Kerajaan Persekutuan terus kekal dengan pendirian yang telah dimeterai dalam persefahaman antara beliau dan Premier Sarawak.
“Pendirian tersebut adalah pertama, kita menghormati hak, peraturan dan undang-undang masing-masing.
“Kedua, kita menuntut supaya PETRONAS dan PETROS bekerjasama untuk mengangkat martabat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya.
“Perkara ini boleh dilakukan dan mesti dilakukan melalui iltizam bersama,” tegasnya lagi.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Amar Fadillah Yusof, Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Pengerusi Penganjur Datuk Dr Penguang Manggil, timbalan-timbalan menteri, ketua-ketua jabatan serta kenamaan yang lain. – UKAS
