KUCHING: Sarawak melihat industri hidrogen dan semikonduktor antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi yang berpotensi mengangkat Malaysia ke tahap pembangunan lebih tinggi sekiranya disokong oleh dasar pelaburan yang lebih kompetitif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi dengan menawarkan insentif yang selaras dengan keperluan industri berteknologi tinggi.
Menurut beliau, landskap ekonomi global kini berubah dengan pesat, sekali gus menuntut negara menyediakan pakej galakan yang mampu menarik syarikat-syarikat utama dalam sektor tenaga hijau dan teknologi maju untuk melabur di Malaysia.
“Sektor hidrogen dan semikonduktor mempunyai nilai ekonomi yang besar kerana melibatkan aktiviti pembuatan berteknologi tinggi serta penggunaan bahan mentah yang strategik.
“Justeru, semakan terhadap insentif sedia ada perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam merebut pelaburan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Abang Johari berharap Kerajaan Persekutuan dapat meneliti semula insentif yang ditawarkan supaya lebih menarik kepada pelabur yang ingin meneroka peluang dalam ekonomi baharu, khususnya industri hidrogen dan semikonduktor.
Menurut beliau, pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi bukan sahaja mampu memperkukuh kapasiti perindustrian negara, malah berpotensi menjana sumber pendapatan baharu kepada kerajaan melalui peningkatan aktiviti ekonomi dan kutipan hasil cukai.
Pada masa sama, katanya, perkembangan sektor berkenaan akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus membantu melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri masa depan.
Beliau turut yakin bahawa pengukuhan ekosistem pelaburan dalam industri strategik itu akan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global serta menyokong agenda peralihan ke arah ekonomi berasaskan teknologi dan tenaga bersih.
Dalam pada itu, Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, termasuk kejayaan merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu.
Kestabilan politik serta hubungan baik antara kedua-dua kerajaan katanya, menjadi asas penting dalam memperkukuh keyakinan pelabur dan mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan ekonomi.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Pengerusi Penganjur Datuk Dr Penguang Manggil, timbalan-timbalan menteri, ketua-ketua jabatan serta kenamaan lain.
