Agenda pembangunan diutamakan, GPS belum fikir tarikh PRN Sarawak

KUCHING: Tumpuan Kerajaan Sarawak ketika ini terarah kepada agenda pembangunan negeri dan bukannya persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan datang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelbagai perancangan dan inisiatif pembangunan yang sedang dilaksanakan memerlukan perhatian penuh kerajaan, sekali gus menyebabkan soal tarikh pilihan raya belum menjadi fokus utama.

Menurut beliau, sehingga kini tiada sebarang pertimbangan khusus mengenai waktu sesuai untuk mengadakan PRN kerana keutamaan semasa adalah memastikan agenda pembangunan negeri terus berjalan lancar.

“Saya pun tidak tahu bila pilihan raya negeri. Jadi, saya tidak dapat menjawab soalan itu kerana saya masih sibuk dengan hal lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pusat Kebudayaan Bidayuh (BCC) serta menyempurnakan penyerahan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN (SALCRA) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut diajukan pertanyaan mengenai kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, akan terus diberi kepercayaan sebagai calon pada PRN akan datang.

Soalan itu timbul susulan kenyataan positif Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn terhadap kepimpinan Henry ketika majlis berkenaan.

Bagaimanapun, Abang Johari enggan membuat sebarang spekulasi dan menyifatkan perbincangan mengenai calon pilihan raya masih terlalu awal.

“Banyak perkara yang lebih penting perlu diberi perhatian pada masa ini termasuk pelbagai inisiatif pembangunan dan kerjasama ekonomi yang sedang dirancang oleh kerajaan negeri,” tambahnya.

Dalam nada berseloroh, beliau berkata usaha Sarawak membuka Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Pontianak, Kalimantan Barat turut menjadi antara perkara yang sedang diberikan perhatian.

“Beri bayangan pun susah juga. Kita lagi sibuk hendak buka STATO di Pontianak, biar Negeri Sembilan kecoh, Johor kecoh, kita jangan kecoh dulu,” katanya.