Rundingan formula geran khas Sarawak masih diteruskan

KUCHING: Usaha Sarawak untuk mendapatkan formula baharu bagi pengiraan geran khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan masih menunggu kata putus daripada Kerajaan Persekutuan, meskipun cadangan tersebut telah dikemukakan sejak beberapa ketika lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata sehingga kini belum ada persetujuan muktamad dicapai berhubung formula khas yang dicadangkan oleh kerajaan negeri sebagai asas baharu pengiraan geran berkenaan.

“Sarawak berharap rundingan yang sedang berlangsung dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat supaya isu berkaitan pemberian khas itu dapat diselesaikan dengan lebih jelas dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian dan Forum Minggu Arkib Antarabangsa 2026 yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Sharifah Hasidah menjelaskan kerajaan negeri terus menantikan keputusan rasmi daripada Kerajaan Persekutuan dan optimis bahawa perbincangan yang dijalankan akan menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Katanya, hasil rundingan tersebut bukan sahaja penting kepada Sarawak dari segi kedudukan kewangan negeri, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan sekiranya persetujuan dapat dicapai.

Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan supaya 20 peratus daripada hasil atau cukai yang dikutip di Sarawak dipulangkan semula kepada negeri ini.

Beliau berpendapat pendekatan berasaskan peratusan lebih sesuai berbanding jumlah tetap kerana ia mampu menyesuaikan nilai pemberian khas mengikut prestasi ekonomi semasa dan keperluan pembangunan pada masa hadapan.