SKS 2026 di Kapit 26-28 Jun, bawa pelbagai perkhidmatan kerajaan untuk rakyat

KAPIT: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 terus menjadi platform penting dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat apabila Bahagian Kapit dipilih sebagai lokasi penganjuran keempat program itu yang akan berlangsung di Perkarangan Dewan Suarah Kapit mulai 26 hingga 28 Jun ini.

Program anjuran Kerajaan Sarawak itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan rakan strategik di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat, perkhidmatan dan bantuan yang ditawarkan.

Antara tarikan utama program ialah kaunter pertanyaan Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan syarat kelayakan, kadar bantuan serta kaedah penyaluran bantuan melalui platform SPay Global.

Melalui SKAS 2026, kategori isi rumah yang layak akan menerima bantuan RM1,100, warga emas RM600 dan individu bujang RM375, dengan hampir 800,000 penerima dijangka mendapat manfaat di seluruh Sarawak.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan maklumat mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), termasuk syarat kelayakan, bidang pengajian dan institusi yang terlibat.

Golongan belia dan pencari kerja pula boleh memanfaatkan perkhidmatan JobSarawak yang menawarkan maklumat peluang pekerjaan, pembangunan kerjaya dan padanan pekerjaan dengan majikan yang mengambil bahagian.

Program itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan percuma seperti saringan kesihatan dan pameran kesedaran kesihatan, selain aktiviti sampingan termasuk sukaneka rakyat, persembahan kebudayaan dan Konsert Rakyat.

Majlis perasmian SKS 2026 Bahagian Kapit akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 27 Jun.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk Kapit serta kawasan sekitarnya dijemput hadir bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan dan peluang yang disediakan.