Kesedaran awam bantu tangani kes buli

KUCHING: Masih banyak kes buli berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa, sekali gus menyukarkan usaha membendung gejala tersebut secara berkesan meskipun Akta Antibuli 2026 mula dikuatkuasakan 16 Jun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata kecenderungan mangsa atau pihak yang mengetahui kejadian buli untuk berdiam diri menyebabkan banyak kes tidak dapat ditangani pada peringkat awal.

“Kebanyakan insiden hanya mendapat perhatian apabila keadaan menjadi semakin serius atau tular dalam kalangan masyarakat, sedangkan tindakan lebih awal boleh membantu mengelakkan kesan yang lebih buruk terhadap mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Inovasi Pedagogi Melalui Reka Bentuk Pembelajaran Yang Dipertingkatkan Teknologi: Kajian Kes Global dan Implikasi Untuk Amalan di Wisma Wanita, di sini, hari ini.

Justeru, katanya, usaha meningkatkan kesedaran awam perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat memahami bahawa setiap bentuk buli perlu dilaporkan dan tidak boleh dipandang ringan.

Fatimah berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) terus memperluas program advokasi dan pendidikan masyarakat bagi memberi kefahaman mengenai bentuk-bentuk buli, saluran pelaporan yang tersedia serta bantuan yang boleh diperoleh oleh mangsa.

Dalam pada itu, beliau menegaskan penguatkuasaan Akta Antibuli 2026 perlu disokong dengan tindakan tegas terhadap pelaku dan sokongan berterusan kepada mangsa.

Katanya, pendekatan menyeluruh yang melibatkan keluarga, sekolah, masyarakat dan agensi berkaitan penting bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan pelajar.