TEGAS tawar program ‘Unreal Engine for Games’

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) kini membuka permohonan untuk menyertai Program Latihan ‘Unreal Engine for Games 2026’.

Program latihan itu adalah susulan daripada kejayaan program rintis pada 2024 dan program bersiri motion grapik 2025.

Program selama lima hari itu fokus kepada pembangunan latihan mekanik utama, prototaip pesat dan rekabentuk interaktif.

Dijadual diadakan pada 10 hingga 14 Ogos 2026 di TEGAS Digital Village (TDV) di sini, program itu dianjurkan dengan kerjasama EFXCO Academy dan Unreal Authorized Training Centre.

Modul strategik itu bertujuan meningkatkan kemahiran 20 anak Sarawak kreatif yang terpilih untuk mentransformasikan mereka daripada pengguna pasif dan animator visual kepada pengwujud aktif dalam teknologi interaktif masa sebenar.

Pendaftaran kemasukan dalam program ini adalah terhad kepada kumpulan calon terpilih dengan pertimbangan diberikan kepada individu daripada latar belakang tidak diwakili atau mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

Sejurus berjaya menamatkan kursus latihan, peserta akan menerima sijil penyertaan rasmi diiktiraf oleh komuniti Unreal Engine global.

Untuk keterangan lanjut dan butir pendaftaran, sila layari https://efxcoacademy.com/unreal-engine-for-games.