Kerajaan Sarawak sedia pertimbang perluaskan kemudahan NADI

BINTULU: Kesemua 23 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang diluluskan di Sarawak pada 2024 kini telah siap dan beroperasi di luar bandar.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata NADI sebagai pusat kemudahan internet yang membantu masyarakat meningkatkan kemahiran digital, selain menyediakan platform kepada usahawan mengembangkan perniagaan secara dalam talian.

“Kemudahan NADI bukan sahaja mendapat sambutan masyarakat, malah dimanfaatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua kaum serta komuniti usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke NADI Kampung Assyakirin yang mempunyai 20 usahawan menggunakan kemudahan terbabit, di sini, hari ini.

Julaihi berkata, sekiranya kadar penggunaan terus meningkat dan terdapat keperluan sebenar untuk menambah ruang, kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan cadangan memperluaskan pusat berkenaan.

“Perkara ini perlu dibincangkan antara pihak pengurusan NADI, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Telekom Malaysia sebagai pengendali,” tambahnya.