MUKAH: Penduduk Mukah disaran merebut peluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, bantuan dan kemudahan yang ditawarkan menerusi Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah, mulai 2 hingga 4 Oktober ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak 50 agensi menyertai program berkenaan dengan menyediakan 170 perkhidmatan untuk kemudahan rakyat.
Katanya, SKS Mukah adalah edisi kelapan siri jelajah akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 3 Oktober di Dataran Pehin Setia Raja.
“Pelbagai perkhidmatan disediakan menerusi tujuh kluster utama membabitkan pentadbiran, digital dan inovasi, keusahawanan, pendidikan, kesihatan, sosial dan kebajikan serta kaunter bayaran.
“Antaranya termasuk Kaunter Tali Khidmat, Sarawak Pass, SPayGlobal, bantuan pembiayaan, geran dan latihan keusahawanan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dan persediaan SKS 2026 Bahagian Mukah, hari ini.
Fatimah berkata, peluang pekerjaan turut disediakan menerusi temuduga terbuka JobSarawak yang membabitkan tujuh syarikat, manakala Bank Negara Malaysia, AKPK dan JAIS turut menyediakan perkhidmatan kepada pengunjung.
“Bidang kesihatan pula menawarkan saringan dan konsultasi, vaksin influenza percuma untuk warga emas serta ujian HPV DNA bagi pengesanan kanser serviks.
“Saya menggalakkan penduduk Mukah hadir beramai-ramai kerana sebanyak 85 hadiah disediakan menerusi e-Peraduan, termasuk hadiah utama sebuah kereta Proton Saga bernilai RM41,000,” katanya.
