PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak memperkukuhkan agenda pembangunan Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada pengembangan perusahaan, dan pembangunan bakat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, selain itu
pembiayaan, akses pasaran serta penyertaan dalam sektor ekonomi berimpak tinggi.
“Pendekatan bersepadu itu bagi memastikan lebih banyak syarikat Bumiputera Sarawak mampu berkembang dan menembusi pasaran serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera Bil. 2/2026 di sini, hari ini.
Awang Tengah menjelaskan, antara langkah utama yang dilaksanakan ialah kerangka strategik 3-7-20, fokus kepada usaha membawa syarikat Bumiputera ke Bursa Malaysia, membangunkan Regional Business Champions serta meningkatkan perusahaan mikro menjadi syarikat Sendirian Berhad.
Katanya, kerangka berkenaan sudah menunjukkan perkembangan positif apabila United Asiapac Energy Berhad berjaya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 September lalu.
“Penawaran tersebut merekodkan permodalan pasaran sebanyak RM192.50 juta, manakala dana berjumlah RM48.74 juta berjaya diperoleh,” katanya.
Awang Tengah berkata, sembilan lagi syarikat Bumiputera Sarawak kini dikenal pasti untuk dibangunkan ke arah penyenaraian, termasuk dua syarikat yang disasarkan untuk disenaraikan pada 2027.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut memperluaskan peluang penyertaan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti hidrogen, petrokimia, pembuatan termaju, aeroangkasa dan semikonduktor selaras dengan aspirasi PCDS 2030.
Dari aspek pembangunan bakat, katanya, usaha memperkukuhkan kemahiran tenaga kerja diteruskan menerusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di CENTEXS, Sarawak Skills serta kerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan.
Pada masa sama katanya, RM250 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) mulai tahun ini.
Awang Tengah berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh bagi membangunkan ekosistem perusahaan yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya saing.
