Sarawak perlukan 1,000 guru, boleh ajar lebih satu mata pelajaran

KUCHING: Sarawak yang memerlukan kira-kira 1,000 guru bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar di negeri ini, memfokus kepada guru yang mempunyai keupayaan untuk mengajar lebih daripada satu mata pelajaran.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pengambilan guru baharu untuk Sarawak belum diumumkan dan pihaknya masih menunggu maklumat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Pengambilan guru adalah daripada SPP, mereka yang akan membuat tawaran kepada semua calon yang berjaya,” katanya selepas Majlis Perasmian Sarawak Informal Education (IFE) Recognition – Community Skills And Productivity di Menara LCDA, di sini, hari ini.

Katanya, kekurangan guru mengikut opsyen menjadi cabaran utama kerana tidak semua mata pelajaran mempunyai guru yang mencukupi, khususnya dalam bidang Sains.

Seramai 105 peserta menerima Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal Sarawak (IFE) selepas berjaya melengkapkan proses pengiktirafan kemahiran menerusi inisiatif Sarawak Informal Education (IFE) – Community Skills and Productivity.

Inisiatif tersebut merupakan salah satu usaha untuk mengiktiraf kemahiran dan kompetensi yang diperoleh rakyat di luar sistem pendidikan formal.