BINTULU: Kerajaan Sarawak bersedia menyediakan peruntukan tambahan sehingga RM1 bilion secara padanan sekiranya Kerajaan Persekutuan menyalurkan jumlah sama bagi mempercepatkan pembangunan kawasan penanaman padi di wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama itu wajar memandangkan usaha meningkatkan pengeluaran beras merupakan agenda keselamatan makanan negara, bukan hanya kepentingan Sarawak.
Menurutnya, pelaburan besar diperlukan khususnya untuk membangunkan sistem pengairan, saliran dan kemudahan penyimpanan air di kawasan penanaman.
“Pembangunan prasarana pengairan memerlukan kos tinggi dan mengambil masa, namun ia penting untuk meningkatkan pengeluaran beras,” jelasnya pada sidang media selepas merasmikan Sarawak AgroFest (SAF) 2026 di tapak lapangan terbang lama Bintulu, hari ini.
Abang Johari berkata, Sarawak mengenal pasti lebih 14,000 hektar tanah berpotensi untuk penanaman padi, termasuk kira-kira 7,000 hektar tanah kerajaan yang akan diwartakan khusus bagi tujuan itu.
“Langkah pewartaan berkenaan penting bagi mengelakkan kawasan tersebut ditukar kepada tanaman lain yang menawarkan pulangan lebih tinggi seperti kelapa sawit,” ujarnya.
Katanya, penggunaan teknologi moden berupaya meningkatkan hasil padi sehingga 14 tan metrik sehektar, sekali gus menjadikan tanaman itu lebih berdaya maju dan mampu meningkatkan pendapatan pesawah.
“Padi tidak seharusnya lagi dianggap tanaman untuk golongan miskin. Ia komoditi strategik yang semakin penting berikutan perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran makanan dunia.
“Kita tidak boleh terus bergantung kepada bekalan luar. Sarawak mempunyai kuasa terhadap tanah dan kita boleh menggunakannya untuk membantu meningkatkan tahap sara diri beras negara,” ujarnya lagi.
Abang Johari berkata, Sarawak turut bekerjasama dengan institusi penyelidikan dan universiti luar negara untuk menghasilkan varieti padi sesuai dengan keadaan tanah tempatan, selain berpotensi mempunyai kandungan kanji lebih rendah bagi memenuhi keperluan kesihatan pengguna.
“Pendekatan penanaman bersepadu juga akan diterapkan dengan menyediakan kolam takungan air yang boleh digunakan semula untuk pengairan serta aktiviti akuakultur,” ujarnya lagi.
Abang Johari berkata, keperluan domestik akan diberi keutamaan sebelum lebihan pengeluaran beras Sarawak dipasarkan ke luar.
Sementara itu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pihaknya menyasarkan tahap sara diri beras sekurang-kurangnya 80 peratus dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun menerusi penggunaan teknologi moden dan pembangunan berskala besar.
“Permohonan mendapatkan peruntukan tambahan akan dibawa untuk pertimbangan Kabinet Negeri, selain sokongan Kerajaan Persekutuan turut diperlukan bagi memastikan agenda keselamatan makanan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujar beliau.
