Pemergian Tun Dr Siti Hasmah satu kehilangan besar kepada negara

KUCHING: Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah seluruh rakyat Malaysia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berita pemergian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut mengundang rasa dukacita kerana Allahyarhamah memainkan peranan penting sebagai pendamping sepanjang kepimpinan suaminya.

“Saya menzahirkan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah.

“Ini merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, tetapi kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026 di Pusat Konvensyen Hikmah Exchange (HEEC), di sini, hari ini.

Menurutnya, Tun Dr Siti Hasmah merupakan antara individu penting yang sentiasa berada di belakang Tun Dr Mahathir ketika beliau menerajui negara.

Katanya, era kepimpinan Tun Dr Mahathir menyaksikan Malaysia melalui pelbagai perubahan dan pembangunan, dengan sokongan Allahyarham sebagai isteri memainkan peranan penting sepanjang tempoh berkenaan.

Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.

Berita pemergiannya disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.