BINTULU: Masyarakat tani perlu menerokai bidang pertanian sebagai satu perusahaan dengan menghasilkan produk mempunyai nilai ekonomi dan mampu meningkatkan pendapatan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, bidang pertanian itu boleh diusahakan dengan jayanya dengan menggunakan teknologi, inovasi dan pendekatan baharu.
Teknologi dan inovasi mampu mentransformasikan sektor pertanian ke arah moden, produktif, mampan, berdaya saing dan berdaya tahan, katanya dalam ucapan aluan sempena Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dr. Rundi berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan bukan sahaja jumlah pengeluaran, malah kualiti, keselamatan dan nilai tambah produk agro tempatan.
Menurutnya, penggunaan teknologi juga penting untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai sektor pertanian, selain menangani cabaran komuniti petani yang semakin berusia.
“Sudah tiba masanya kita menggunakan dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan sektor agro tidak seharusnya hanya bergantung kepada keluasan tanah, sebaliknya memberi tumpuan kepada kualiti serta kebolehpasaran produk.
Dalam konteks keterjaminan makanan, Rundi berkata Sarawak turut memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran padi dan beras, termasuk pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran.
Katanya, kerajaan sedang meneroka pendekatan Design, Build, Operate and Transfer (DBOT) dengan penglibatan pihak yang mempunyai kapasiti, teknologi, kepakaran dan kemampuan kewangan untuk mempercepat pembangunan sektor padi.
Sarawak Agrofest 2026 bertemakan “Menginovasi Pertanian untuk Keterjaminan Makanan” berlangsung dari 25 September hingga 4 Oktober di Lapangan Terbang Lama Bintulu.
Penganjuran kali keenam itu menyasarkan 800,000 pengunjung serta nilai jualan sebanyak RM6.5 juta sepanjang 10 hari program.
