Belia Sarawak perlu kuasai teknologi, berani terokai bidang baharu

SAMARAHAN: Belia Sarawak perlu menguasai teknologi, menjaga nilai dan akhlak serta berani meneroka bidang baharu bagi menghadapi perubahan ekonomi dan cabaran masa depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kualiti belia sebagai penentu kepada usaha Sarawak menjadi sebuah wilayah termaju di Malaysia menjelang 2030.

“Kita mahu rakyat Sarawak terdiri daripada mereka yang berkualiti, berakhlak dan mempunyai idea-idea baharu supaya pembangunan negeri kita sesuai dengan peredaran zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026,di sini, hari ini.

Premier Sarawak berkata, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) memberi peluang besar kepada belia.

Namun katanya, ia perlu digunakan secara bertanggungjawab dan tidak disalahgunakan untuk buli serta penipuan.

“Teknologi boleh membangun dan memusnahkan.

“AI sebenarnya menggunakan data untuk mempercepatkan kita mencari penyelesaian, tetapi ada juga yang menggunakan AI untuk menipu,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan kejayaan pelajar Sekolah Batu Bungan, Baram yang muncul juara pertandingan teknologi AI di Hong Kong sebagai bukti belia Sarawak mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, bidang sukan juga penting dalam membentuk keupayaan belia mengatur strategi dan bertindak terhadap keadaan yang sentiasa berubah, termasuk pencapaian Sarawak sebagai juara SUKMA 2024.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan turut menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran baharu, termasuk pendidikan universiti percuma yang menerima peruntukan RM260 juta tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa belia menggunakan peluang yang tersedia, menguasai teknologi serta berani meneroka bidang baharu bagi memainkan peranan dalam pembangunan Sarawak menuju 2030. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI